Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
Supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan
bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya
kamu bersyukur.
Surah al-Baqarah:185
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir
disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan
solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
Mengenai syariat bertakbir
(pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin
ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke
tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah
ini.
RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya,karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan
menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika
menuju ke tempat solat. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat
Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan
kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah
menerimaamalan kami dan amalanmu).”
Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.
Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
Tidak harus melakukannya.
Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah,
hari Aidiladha dan Aidilfitri."
Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
Mengenai hikmah menjamah
makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak
berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya
Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup
prasangka semacam ini.
Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam
jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat
Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya
Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah
itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk
perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan
pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa
biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan
kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam
jumlah yang ganjil.”
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk
mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis
seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan
hanya meminum air.Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
Aku lebih menyukai seseorang
memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu
pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat
diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai
baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.
Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai
pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai
pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan
sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak
pula, Imam Syafie r.h menambah:
Mengenai golongan kanak-kanak
pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik
lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas
atau apa sahaja perhiasan."
Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang
terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke
tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai
wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda
Rasulullah s.a.w:
Mana-mana wanita yang memakai
wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat
menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."
Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus
membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang
menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita
untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya
dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di
sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu
berahi hanyalah khusus untuk suaminya.Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.
Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan
kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak.
Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding
menaiki kenderaan.
Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika
pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah
r.a berkata:
Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya."
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
Baginda s.a.w selalu melalui
jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari
raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman
dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain
berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat
untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di
kedua-dua jalan itu.Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar
Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya
perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang
berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan
meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan
kesalahan-kesalahannya.
Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:
Pada hari Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu,
perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat
hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
Sesungguhnya mengerjakan
kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang
besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya
mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun.
Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat
sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap
Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu
kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan
tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan
hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat
Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya
benar-benar bermakna bagi mereka.
Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
Rasulullah s.a.w telah keluar
pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya
sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya
dan sesudahnya.
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
Pada hari raya Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama
yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan
mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah
makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan
memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar
khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya,
sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia
dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
Aku pernah menghadiri solat
hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda:
Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk
mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh
beredar.
Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
Mengadakan permainan serta
kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk
nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama
yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani
dan memberi kepuasan serta kegirangan hati."
Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk
Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri
dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
Nabi s.a.w pernah datang ke
Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka
bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.
Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu
memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa
jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan
kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan
Aidilfitri.”
Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang berpuasa pada
bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal,
seolah-olah dia telah berpuasa setahun
Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan
Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan
berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula
pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga
merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun,
seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada
di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh
mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah
pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak
mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak
ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu,
afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih
dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih
bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya,
iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
No comments:
Post a Comment